top of page
Search

RUKUN DAN WAJIB UMRAH

Updated: Jan 21, 2019


Terdapat lima perkara dalam Rukun Umrah yang mesti dilaksanakan oleh jemaah. Pelaksanaan Rukun Umrah tidak boleh dibuat dengan mewakilkannya kepada orang lain. Sekiranya salah satu daripada Rukun Umrah ditinggalkan secara sengaja atau tidak sengaja, ibadah umrah tersebut adalah tidak sah. Lima Rukun Umrah ialah:

1. Niat

2. Tawaf

3. Sai'e

4.Tahallul

5. Tertib


1. Niat

Setiap ibadah hendaklah dimulai dengan niat. Jika seseorang itu tidak berniat sama ada sengaja atau terlupa umrahnya menjadi tidak sah. Berniat umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa. Berikut ialah lafaz niat umrah:

نَوَيْتُ العُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِهَا لله تَعَالَى

Ertinya : “Sahaja aku berniat umrah dan berihram aku untuk melaksanakannya kerana Allah Ta’ala.”


2, Tawaf

Tawaf adalah salah satu rukun yang sangat penting dalam ibadat umrah. Sekiranya ia tidak dilaksanakan mengikut syarat-syaratnya, ia menjadi tidak sah dan justeru itu Sai’e, iaitu rukun yang berikutnya juga akan menjadi tidak sah.


Syarat- syarat sah tawaf:

Berniat mengelilingi Ka’abah semata-mata untuk menunaikan tawaf kerana Allah S.W.T.


Lafaz niat Tawaf Umrah :

أللّهُمَّ إنّي أُرِيْدُ الطَوَافَ هِذَا البَيْتِ طَوَافَ العُمْرَةِ سَبْعَةَ أَشْوَاطٍ لله تَعَالَى

Ertinya: “Aku berniat Tawaf Umrah di Ka’abah ini tujuh pusingan kerana Allah Taala.”


  • Tawaf hendaklah dilakukan di luar Ka’abah tetapi di dalam Masjidil Haram.

  • Tawaf boleh dilakukan di bahagian atas Masjidil Haram tetapi mesti dipastikan bahu sentiasa mengiringi Ka’abah.

  • Tidak boleh menyentuh mana-mana bahagian Ka’abah termasuk Syazarwan (bingkai Ka’abah) semasa tawaf.

  • Tidak boleh menggunakan laluan di bawah pancur emas antara Hijr Ismail dengan Ka’abah (kerana Hijr Ismail juga dikira sebahagian daripada Ka’abah).

  • Laluan tawaf hendaklah bersih daripada najis.

  • Tawaf hendaklah dimulai dari belakang garisan Hijr al-aswad dan diakhiri dengan melangkah garisan yang sama.

  • Tawaf hendaklah dilakukan sebanyak tujuh kali pusingan dengan sempurna dan yakin.

  • Mesti mengirikan Ka’abah sepanjang masa tawaf. Beri perhatian khusus apabila tiba di penjuru-penjuru Ka’abah.

  • Mesti suci daripada hadas kecil (yakni berwuduk).Mesti suci daripada hadas besar.Badan dan pakaian mesti suci daripada najis.( mendukung anak lelaki yang belum berkhatan adalah diaggap membawa najis yang menyebabkan tawaf menjadi tidak sah).Mesti menutup aurat.

3. Sai’e

Sai’e adalah juga satu rukun yang penting dan perlu dilaksanakan dengan sempurna. Walaupun begitu sahnya Sai’e bergantung kepada sahnya tawaf. Jika kerana sesuatu sebab, tawaf tidak sah maka Sai’e yang walaupun dibuat dengan sempurna akan turut menjadi tidak sah.

Syarat-syarat sah Sai’e:

  • Hendaklah dilakukan selepas tawaf.

  • Tujuan hendaklah semata-mata untuk Sai’e.Sai’e hendaklah dimulai dari Bukit Safa dan tamat di Bukit Marwah.

  • Sai’e dilakukan genap dan sempurna bilangan sebanyak tujuh kali.

  • Perjalanan balik dari Marwah ke Safa dikira sekali pula.

  • Jarak perjalanan Safa ke Marwah dikira dari kaki bukit ke kaki bukit. Tetapi sekurang-kurangnya ialah jarak yang ditentukan untuk mereka yang menggunakan kereta sorong.

  • Perjalanan dari Safa ke Marwah dan sebaliknya tidak terputus yakni seseorang itu tidak melencong keluar melalui satu pintu dan masuk semula menerusi satu pintu lain.


4.Tahallul

Bertahallul maknanya melepaskan diri dari larangan ihram menurut cara yang ditetapkan untuk umrah. Bagi umrah seseorang itu boleh bertahallul setelah selesai melaksanakan dengan sempurna semua kerja-kerja rukun yang lain iaitu niat, tawaf dan Sai’e.


Syarat Tahallul

  • Menggunakan sekurang-kurangnya tiga helai rambut (bukan bulu) dengan cara bergunting atau dengan cara–cara lain. Tetapi adalah afdhal bagi lelaki mencukur kepalanya.

  • Bagi orang yang kepalanya tidak berambut memadai jika dilalukan pisau di atas kepalanya.

Perkara-perkara yang berkaitan dengan jemaah wanita:

  • Perempuan yang berambut panjang boleh memotong mana-mana bahagian rambutnya untuk tahallul asalkan tidak kurang dari tiga helai.uami boleh menggunting rambut isterinya sebelum menggunting rambutnya sendiri selepas kedua-duanya selesai Sai’e umrah. Tetapi sebaik-baiknya suami menggunting rambutnya dulu.

  • Perempuan haid boleh bertahallul dan rambut yang dipotong dimasukkan saja ke dalam bekas yang disediakan.


5. Tertib

Para jemaah hendaklah melaksanakan segala Rukun Umrah satu persatu, mengikut tertibnya (aturan).


Wajib Umrah

Wajib Umrah ialah perkara-perkara yang mesti dilaksanakan oleh jemaah umrah, sekiranya ditinggalkan, ibadah umrah tersebut masih sah tetapi dikenakan bayaran Dam. Pengabaian terhadap perkara-perkara Wajib Umrah dengan sengaja adalah berdosa dan dikenakan Dam. Jika ditinggalkan dalam keadaan tidak sengaja, hukumnya tidak berdosa tetapi masih dikenakan Dam.


Berikut ialah perkara-perkara Wajib Umrah:

(1) Berniat umrah di Miqat (sempadan) yang ditetapkan ataupun sebelumnya.

(2) Menjaga larangan ihram.


Berniat Umrah di Miqat:

Miqat Makani (sempadan tempat) adalah tempat yang ditetapkan bagi seseorang yang hendak mengerjakan umrah melafazkan niatnya. Niat boleh dilafazkan pada mana-mana tempat sebelum sampai ke Miqat ini. Tetapi jika sudah melampaui Miqat ini, niat umrah masih boleh dilafazkan tetapi Dam berupa seekor kambing dikenakan.


Miqat bagi jemaah umrah dari Asia Tenggara (dengan kapal terbang):

  • Qarnul Manaazil - Lebih kurang 94km dari Makkah atau lebih kurang setengah jam perjalanan sebelum kapal terbang mendarat di Jeddah. Miqat ini adalah untuk jemaah yang terus ke Makkah setelah mendarat di Jeddah.

  • Bir Ali - (disebut juga sebagai Zulhulaifah) – Lebih kurang 10km dari Bandar Madinah atau lebih kurang 450 km dari Makkah. Miqat ini adalah untuk jemaah yang terus ke Madinah dan dari sana berniat ihram sebelum bergerak menuju Mekah. Ia juga menjadi Miqat untuk penduduk bandar Madinah itu sendiri.

Lain-lain miqat (dengan kapal terbang) ialah:

  • Al-Juhfah - Lebih kurang 187km dari Makkah . Ia menjadi miqat untuk penduduk Syam (Syria), Mesir dan negara-negara lain dari arah yang sama.

  • Zaatu ‘irqin - Lebih kurang 94 km dari Makkah. Miqat bagi penduduk Iraq.

Larangan Ihram

  • Mulai dari saat melafazkan niat hinggalah sempurna semua Rukun Umrah, jemaah hendaklah berwaspada supaya tidak melanggar larangan ihram seperti berikut:

  • Mengugurkan rambut atau bulu di badan (sama ada dengan cara menggunting, mencukur,menggosok, mencabut, mengesat, menganyah,mengelap dan sebagainya)

  • Memakai minyak rambut pada kepala (dan janggut, bagi lelaki)

  • Menggunakan bau-bauan pada badan, pakaian,makanan atau minuman

  • Memakai sarung tanganMengerat kuku

  • Memburu atau membunuh binatang yang halal dimakan sama ada di Tanah Haram atau di Tanah Halal

  • Menebang, memotong, mencabut atau merosakkan pokok atau tumbuhan di Tanah Haram (sahaja)

  • Berakad nikah sama ada berijab atau qabul untuk diri sendiri atau bertindak bagi pihak orang lain

  • Bercumbuan

  • Melakukan persetubuhan

Larangan Khusus Kepada Jemaah Lelaki

  • Memakai pakaian yang bersarung (sama ada berjahit atau pun tidak) yang disarungkan ke badan termasuk seluar dalam, baju dalam, sarung kaki, songkok dan sebagainya Menutup muka

  • Menutup kepala atau sebahagian daripadanya

  • Memakai kasut yang menutup tumit dan jari kaki.

Larangan Ihram Khusus Kepada Jemaah Wanita

  • Menutup muka

Ihram Bagi Kanak-Kanak

  • Kanak-kanak yang sudah baligh yang mengerjakan umrah bertanggungjawab membayar Damnya sendiri jika dia melanggar larangan ihram.

  • Bagi kanak-kanak yang belum baligh tetapi sudah mumayyiz (dapat membezakan antara bersih dan kotor) menjadi tanggungjawab ibubapa atau penjaganya membayar Dam kerana melanggar larangan ihram.

  • Kanak-kanak yang belum mumayyiz tidak dikenakan apa-apa Dam bagi kesalahan melanggar larangan ihram.

70 views0 comments

Recent Posts

See All

FIRST TIMER TUNAI UMRAH

11 Tips Mudah Ingat Untuk Persediaan Menunaikan Umrah. 1. Niat “Innamal a’malu binniat”, sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung kepada niat. Jadi, perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah

KELEBIHAN MENUNAIKAN UMRAH

Terdapat beberapa kelebihan mengerjakan umrah dan ianya boleh dijelaskan seperti berikut: 1. Menjadi tetamu Allah “Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu Agong kepada Allah SWT, sekiranya

KESALAHAN IHRAM & DAM

DAM dalam ibadah haji dan umrah dari segi bahasa bermaksud darah manakala dari segi istilah pula bermaksud ibadah gantian yang merupakan binatang al-An’am disembelih seperti unta, lembu, kambing/ kiba

bottom of page